Ringkasan Cerita Ramayana

Kisah epik ini sebenarnya sangat sederhana. Ada seorang putera, bernama Rama yang merupakan Jelmaan Maha Vishnu di dunia. Sebagai anak sulung, Rama berhak untuk menaiki tahkta kerajaan selepas ayahandanya, Dasaratha. Ketika persiapan sedang dibuat untuk upacara penabalan Rama sebagai putera mahkota, Dasaratha dipaksa oleh permaisurinya, Kaikeyi untuk menabalkan puteranya Bharata sebagai putera mahkota dan Rama dibuang negeri selama empat belas tahun.

Rama bersama-sama Sita dan Lakshmana menjalani kehidupan pertapa di hutan Dandaka. Pada hujung tempoh pembuangan mereka, Sita diculik oleh Ravana, raja kerajaan Lanka. Meskipun Ravana menggunakan pelbagai taktik untuk meminta Sita berkahwin dengannya, Sita enggan dan sebagai seorang isteri yang setia, Sita menantikan kedatangan Rama.

Rama dan Lakshmana mencari Sita dan akhirnya mendapatkan bantuan Sugriva dan Hanuman untuk menyerang kerajaan Lanka. Selepas menewaskan Ravana, Rama membebaskan Sita dan membawanya pulang ke Ayodhya.

Rama seterusnya menaiki tahkta kerajaan Ayodhya dan memerintah kerajaannya dengan baik. Pemerintahan ideal ini dinamakan sebagai Ramarajya.